Sejarah Parti Komunis Malaya: Dalam Perspektif

Kematian Chin Peng pada hari seluruh rakyat Malaysia sewajarnya menyambut Hari Malaysia telah membangkitkan kembali nostalgia dan kenangan pahit sebahagian daripada masyarakat kita terhadap keganasan yang berlaku pada era perjuangan komunis berlangsung.

Kita melihat episode perjuangan komunis ini sering dijaja dalam wacana masyarakat sebagai episode yang gelap dalam sejarah negara kita. Naratif yang dimainkan adalah Komunis adalah kelompok teroris yang jahat dan tidak berhati perut sedangkan pihak British dan Perikatan adalah entiti yang sentiasa hendak kedamaian

Namun benarkah seperti yang didakwa? Apakah naratif yang sama ini dipaparkan dari perspektif PKM sendiri?

Maka saya mengambil insiatif untuk menulis artikel ini bagi menambah beberapa perspektif,terutama dari catatan golongan kiri sendiri bagi meletakkan setiap peristiwa dalam konteks yang tertentu. Saya akui bahawa catatan golongan kiri juga bisa diragui,seperti mana kita perlu juga ragui grand naratif yang dibawakan oleh pihak kerajaan dan British yang dominan dalam wacana sejarah dalam negara ini. Artikel ini akan cuba menjawab beberapa perkara seperti berikut:

a) Benarkah Chin Peng mengarahkan kekejaman keras sebagai jalan penyelesaian dan telah berlaku pembunuhan yang zalim ke atas ramai orang Melayu dalam peristiwa 14 hari selepas Jepun menyerah kalah?

Chin Peng dalam memoirnya jelas menyatakan bahawa prinsip perjuanngan komunisme adalah tidak pernah mengsasarkan masyarakat awam. Namun bagaimana kita dapat asimilisasikan dengan timbunan rekod yang menyatakan bahawa berlaku banyak pembunuhan atas nama komunisme semasa zaman Jepun dan dalam peristiwa 14 hari?

Perkara ini perlu diletakkan dalam beberapa perspektif dan konteksnya. Pertamanya, Parti Komunis Malaya(PKM) tidaklah satu parti yang homogenus dan mempunyai masalah dalaman sendiri,terutama dari kelompok Cina yang berasal golongan immigran dan masih setia dengan kumpulan suku-kaum sendiri berbanding kepimpinan PKM

Pada zaman pemerintahan British,keadaan golongan immigran India dan Cina sangat diabaikan. Mereka di bawa masuk melalui model ciptaan British yang zalim (terutama)seawal 1920-an Maka beberapa inisiatif seperti Kesatuan Buruh dari kalangan Cina dan India telah diwujudkan bagi memperjuangkan hak mereka dalam bekerja namun tidak mendapat sambutan kerana mempunyai masalah kepimpinan.

Hanya pada tahun 1930-34,ketika era Kemorosotan Ekonomi dunia,gerakan ini mendapat nafas baru atas dua faktor: Faktor kemiskinan yang semakin melarat dan kemasukan pemimpin-pemimpin PKM untuk mengetua dan menguruskan protes-protes terhadap majikan. Menurut Collin Abraham,di dalam bukunya “The Finest Hour: The Malaysian MCP Peace Accord in Perspective” kebanyakan golongan immigran terutama orang Cina yang menjadi ahli PKM tidak pernah berkongsi aspirasi da ide komunisme untuk menuntut kemerdekaan,mewujudkan ekonomi kolektif,etc. Kebanyakan hanya melihat PKM sebagai wadah untuk mereka tuntut hak keadaan bekerja dan gaji yang lebih baik dari majikan. Perkara ini penting untuk menggambarkan masalah kessatuan “fikrah” dalam PKM dan permulaan awal krisis dalaman.

Maka ketika pendudukan Jepun (Tarikh),polisi yang kejam banyak tertumpu kepada masyarakat Cina dengan anggaran lebih dari 5000 pekerja Cina yang dibunuh tanpa kesalahan. Hal ini menambahkan dendam kesumat kaum Cina terhadap tentera Jepun dan mana-mana rakyat yang bersekongkol dengan Jepun.

Ini juga perlu diletakkan dalam perspektif bahawa kaum Cina tanah Melayu antara penyokong terbesar gerakan pembebasan China di rantau ini. Sejak Sun Yat Sen datang tahun 1906,paksi Tung Meng Hui diwujudkan di Singapura,Melaka,Seremban,Penang,Kuala Lumpur dan Kuala Pilah yang kemudian berkembang membentuk Kuomintang(KMT). Di tanah Melayu dicatatkan sebanyak 30 cawangan KMT yg berdaftar dan lebih lagi yang bergerak secara sulit. Juga direkodkan sumbangan dana  dari Cina tanah Melayu membantu peperangan Cina-Jepun antara yang terbesar dari rantau Asia. Maka tidak hairan dendam kesumat Jepun ke atas Cina tanah Melayu dan juga sebaliknya sangat luar biasa berbanding di tempat lain.

Maka kebanyakan kelompok Cina yang tertindas bawah pentadbiran Jepun menyertai gerakan Malayan Peoples’ Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk melawan balas. MPAJA adalah faksi PKM tetapi didominasikan oleh kelompok Cina. Ini penting untuk menggambarkan bagaimana selain aspirasi komunisme,kemasukan ramai kaum Cina yang tertindas adalah bermotivasikan dendam ke atas tentera Jepun.

Oleh yang demikian faktor pengawalan yang sukar dalam PKM yang membawa kepada pelbagai episod yang tidak pernah diarahkan oleh kepimpinan PKM menyumbang kepada kekejaman yang berlaku atas nama komunisme pada era Jepun dan peristiwa 14 hari itu berlaku. Pimpinan Komunisme seperti Chin Peng,Rashid Maidin,Abdullah CD dan lain-lain menafikan arahan dikeluarkan untuk membunuh rakyat awam yang juga dilihat satu perkara yang merugikan bagi PKM yang ingin mewujudkan sebuah negara Komunis dan memerlukan sokongan majoriti masyarakat.

Namun dek kerana sebilangan kecil kelompok ekstrimis dalam PKM yang berasal dari golongan immigran (majoriti) Cina+layanan kejam Jepun telah melakukan keganasan,maka PK mendapat nama yang buruk. Malah dalam memoir Shamsiah Fakeh,tokoh wanita penting dalam PKM sendiri,beliau mencatatkan bahawa anak beliau sendiri dibunuh oleh ahli PKM sendiri. Ini menguatkan lagi gambaran bahawa pengawalan terhadap sebahagian kecil yang ekstrim ini sangat lemah.

b) Benarkah gerakan PKM merupaka proksi Soviet? Benarkah negara Komunis yang dicita adalah mesti tunduk pada Soviet?

Kita perlu akui perkara ini masih diperdebatkan dalam kajian sejarah maka tidak wajar menghukum dengan mudah tanpa didatangkan dengan bukti. Seorang tokoh sejarah Prof Mary Turnbull  telah menolak kemungkinan ini  dalam sebuah esei yang dimuatkan dalam The cambirdge History of Southeast Asia. Sungguhpun beliau menyatakan Chin Peng ada dipengaruhi dengan doktrin Zhdanov tetapi pengaruhnya sangat minimal dan langsung tidak signifikan.

Leon Comber yang bertindak sebagai “secret Police” Malaya telah menyatakan bahawa perspektif dari British Special Branch  sendiri mengakui bahawa pengaruh Soviet sangat minimal berbanding pengaruh Cina sungguhpun ada sokongan verbal dari Soviet tahun 1948. Beliau menguatkan lagi hujah beliau dengan menyatakan bahawa pihak SB mengakui berdasarkan dokumen-dokumen yang ada bahawa Soviet lebih berminat menjalankan hubungan baik dengan Malaya atas dasar perdagangan getah pada era 1946-47 dan tak menginkan revolusi di Malaya.

Chin Peng sendiri juga menyebut bahawa kebangkitan pada era 1940-an dan 1950-an bukan berdasarkan arahan soviet atau sesiapa,sungguhpun beliau akui pada tahun 1961 menerima bantuan dari Cina tanpa terikat untuk bernaung di bawahnya.

Maka dari sudut manakah bisa kita ambil untuk menghujahkan keterlibatan Soviet di dalam gerakan Komunis Malaya?

c) Adakah benar British menjalankan polisi yang sangat bertoleransi semasa era penentangan Komunis ke atas rakyat awam?

Banyak rekod dari catatan pemimpin komunis sendiri menyatakan mereka memlih jalan senjata kerana melihat kekejaman piha British sendiri. Chin Peng dalam memoirnya turut menyatakan bahwa pihak British membakar kampong-kampung,menyekat bekalan makanan,serta menembak orang kampong yang disyaki menyokong komunis.

Shamsiah fakeh pula mencatatkan di dalam memoirnya pihak British berlaku kejam termasuk merogol orang kampong dan memutuskan bekalan makanan orang kampong semata-mata mereka disyaki menyokong PKM.

Contoh lain juga adalah seperti apa yang berlaku di Kampung Jenderam di Selangor dan kawasan Benta di Pahang yang memaksakan ratusan orang kampung dipenjara di Kluang Concentration Camp dan Lamai Concentration Camp.

Maka sudut pandang Komunis melihat bahawa kezaliman ini dan penindasan ke atas mereka yang berterusan yang menyebabkan mereka terus mengangkat senjata .

d) Adakah hanya British yang menginginkan rundingan damai dan PKM tidak? Adakah PKM ingin terus kekal dengan jalan senjata dan keganasan kerana didorong dengan ideologi komunisme sendiri?

Keengganan untuk PKM untuk tidak meneruskan jalan damai kerana didorong faktor ideologi adalah kurang tepat. Banyak faktor yang perlu diambil kira terutama soal kepercayaan PKM ke atas kerajaan British yang menindas mereka selama ini. Namun beberapa contoh ada menunjukkan kecenderungan pihak PKM untuk berunding jalan damai. Misalnya : Pada perhimpunan kedua Parti-Parti Buruh dan Komunis di negeri-negeri British Commonwealth pada April 1954,satu laporan yang bertajuk Malaya Fight for Freedom telah dihantar oleh Lim Hong  Bee yang mencadangkan jalan damai dipilih dan kerajaan gabungan semua gerakan nasionalis ditubuhkan selepas kemerdekaan. Juga pada Ogos 1954 wakil dari Tanah Melayu di konferens World of Democratic Youth in Peking menyatakan pendirian mereka bersedia untuk mengadakan rundingan damai dan menamatkan perang di tanah Melayu.

Malah yang mula-mula minta diadakan rundingan damai adalah PKM dalam satu surat yang ditandatangani(dalam bahasa Cina) oleh wakil Malayan Races Liberation Army bertarikh 1 Mei 1955 dengan syarat wakil dari Pusat tertinggi komunis diberi perlindungan untuk keluar dari hutan.

Proposal ini dibincangkan oleh British bersama dengan Tunku Abdul rahman dan satu kenyataan rasmi dari kerajaan federal dikeluarkan pada 24 Jun 1955 menolak cadangan ini. Hal ini kerana British skeptik dengan tawaran PKM dan menganggap bahawa tindakan PKM adalah strategi untuk pimpinannya keluar bagi rekrut lebih ramai ahli di luar hutan setelah mereka tahu gerakan mereka yang semakin lemah.

Contoh lain juga pada pada 19 Oct 1955 satu mesyuarat diadakan di Kediaman Kerajaan Singapura yang dihadiri Sir Robert Scott, Mac Gillivray,Tunku,Marshall and Sir R.Black(governor Singapura).

Di dalam mesyuarat tersebut direkodkan kekhuatiran marshall bahawa permintaan Komunis seperti  perjanjian damai,pembebasan tahanan,serta pembatalan darurat yang mugkin di bawa dalam rundingan damai nanti akan meluaskan pengaruh Komunisme dan membimbangkan British. Pendekatan Tunku lebih tegas untuk tidak mahu tunduk pada British dan ingin meneruskan rundingan damai denganChin Peng tanpa kekangan dari pihak British.

Tunku menjangkakan 5 permintaan dari Chin Peng: a) Iktiraf PKM, b)mereka yang serah diri tak akan dibuang negeri, c)mereka yang serah diri diberi izin untuk berada dalam politik d)mereka yang ditahan (kerana sokong) dibebaskan e)mansuhkan darurat. Tunku hanya tak setuju mengiktiraf PKM namun bersedia berunding soal lain.

Terbukti dalam Pertemuan Baling,Disember 28,berlangsung selamadua hari di sekolah kerajaan Inggeris isu pengktirafan yang menjadi penghalang. Perjumpaan yang dihadiri wakil PKM:Chin Peng,rashid maidin dan Chen Tian(ketua propaganda komunis),  dan wakil Kerajaan:Tunku,Tang Chen Lock dan david marshall akhirnya berakhir dengan kegagalan.

Maka tidak benar untuk kita katakan bahawa tiada usaha dari PKM,mahupun dari delegasi pimpinan Tunku untuk  memilih jalan damai. Tunku pada pertemuan itu bersedia memberi keampunan pada ahli-ahli komunis yang menyerah diri namun menolak permintaan untuk PKM diiktiraf. Chin Peng pula berkeras mengatakan bahawa mereka bersedia untuk angkat senjata dan berjuang bersama kumpulan nasionalis lain melalui jalan demokrasi dan perlembagaan namun hal ini nyata tidak diprsetujui oleh British yang masih skeptik dan dalam mood Perang Dingin.

Dalam hal ini dua-dua pihak ada asasnya. Chin Peng tidak mungkin sanggup menggadaikan prinsip Komunisme(bukan prinsip keganasan) yang menjadi asas perjuangan mereka selama ini. Maka apabila dibuang ide Komunis maka apa makna lagi perjuangan mereka? Dalam memoirnya Chin Peng menyalahkan pihak British yang melambatkan kemerdekaan kerana seandainya PKM diiktiraf dan dibenarkan berpolitik seperti part-parti lain,kemerdekaan sudah tentu dicapai seawal tahun 1955 lagi

Tunku juga lebih praktikal dan memahami skeptik British yang berada dalam suasan Perang Dingin. Maka persetujuan aggal dicapai. Oleh itu tidak benar tuduhan mengatakan bahawa PKM menolak jalan damai kerana menginginkan keganasan sebaliknya mereka ditawarkan perjanjian yang tidak adil  kerana dipaksa menggadaikan apa yang mereka bermati-matian perjuangkan. Adakah kita umat Islam misalnya akan bersedia menggugurkan prinsip Islam yang kita pertahankan selama ini hanya untuk tunduk pada penjajah?

Dalam memoirnya Chin Peng menyalahkan pihak British yang melambatkan kemerdekaan kerana seandainya PKM diiktiraf dan dibenarkan berpolitik seperti part-parti lain,kemerdekaan sudah tentu dicapai seawal tahun 1955 lagi

Namun perkara yang paling penting dalam situasi ini ialah memusatkan setiap interaksi antara PKM dengan British dan Perikatan dalam suasana Perang Dingin. Oleh itu pihak British juga mempunyai asas yang kukuh untuk kekal skeptik,dengan keterbatasan maklumat dan persepsi umum yang sangat kuat mengaitkan semua gerakan Komunis seluruh dunia berpusat pada Soviet. Juga kita tidak boleh lari daripada faktor individu,serta kumpulan-kumpulan kecil seperti kelompok radikal dalam PKM dari kalangan majoriti kaum Cina yang bertindak luar kawalan.

Maka apabila diadunkan kesemua pandangan dari pihak PKM serta British sendiri kita akan dipertontonkan realiti  sejarah sebenar yang kompleks,berkecamuk,dan sangat terbatas maklumat antara satu sama lain.

Saya berharap artikel ini tidak dilihat sebagai satu tindakan membenarkan segala naratif Komunis dalam sejarah. Tujuan saya hanyalah untuk membawa perspektif mereka yang sering dipinggirkan ke wacana umum untuk dibincangkan.

Apa yang saya harap dengan sintesis pelbagai perspektif ini kita dapat menzahirkan sebuah catatan sejarah yang tidak obses dengan mewujudkan dikotomi Jahat vs Baik dan mula mengakui di dua-dua pihak ada cacat dan baiknya serta faktor suasana dan konteks zaman itu yang menjadi pendorong besar kebanyakan tindakan politik kedua-dua belah pihak.

Sumber Rujukan

a)Buku

– “The Finest Hour: The Malaysian MCP Peace Accord in Perspective” tulisan Collin Abraham

-“Patriot and Pretender: The Malayann Peoples’ Independence Struggle” tulisan Dr Kua Kia Soong

-“ The Memoirs of Shamsiah Fakeh” tulisan Shamsiah Fakeh

-“The Malaysian Politics” tulisan Gordon P Means

-“The Communist Struggle in Malaya” tulisan Gene Z.Hanrahan

-“Social Roots of the Malay left” tulisan Rustam A Sani.

-“A History of Southeast Asia” by D.G.E Hall

-“Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik” tulisan Abdul Rahma Hj Ismail

-“ Chin Peng:My Side of History” tulisan Chin Peng

Journal

-“Tunku Abdul Rahman-Chin Peng Amnesty talk”-Nik Anuar Nik Mahmud

-“The Origins of The Cold War in Southeast Asia: The Case of Communist Party of Malaya(1948-1960)-A Special Branch Perpsective” by Leon Comber

-“Reexamining the 1948 revolt of the Malayan Communist Party in Malaya”-C.C Chin

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s